MAC 2023

Sarawak Bersama Indonesia Bangun Hidrogen


KUCHING: Sarawak adalah negeri terbesar daripada negeri-negeri lain di Malaysia yang melabur di Indonesia (Kalimantan), kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, pelaburan Sarawak itu yang mendapat sokongan daripada Presiden Joko Widodo adalah untuk bersama-sama dengan Indonesia (Kalimantan) membangunkan tenaga diperbaharui dan hidrogen.

“saya akan ke Bali, atas jemputan Indonesia untuk menyampaikan ceramah mengenai pembangunan gas hidrogen selepas Hari Raya nanti” katanya pada majlis penyerahan Blok Pentadbiran Baharu dan Blok Akademik Dinaik taraf Sekolah Kebangsaan Merpati (SK) Jepang di sini.

Abang Johari menegaskan, sebelum ini, beliau telah berada di Indonesia bagi menyampaikan ceramah mengenai pembangunan hidrogen yang sedang giat dilaksanakan.

Bagi menjayakan program pembangunan hidrogen demi kemampanan alam sekitar, katanya, Sarawak memerlukan lebih ramai pekerja mahir dalam bidang teknikal khususnya berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Justeru, beliau menggesa ibu bapa menggalakkan anak-anak memberi tumpuan dalam pembelajaran STEM dan Bahasa Inggeris.

Manakala, pelajar pula jangan menaruh perasaan ‘takut’ terhadap STEM.

Sarawak, tambahnya, memerlukan sekumpulan besar bakat dengan latar belakang STEM yang kukuh bagi memastikan pembangunan dan kemajuan berterusan seperti di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

Sebagai bekas pelajar SK Merpati Jepang, Premier Sarawak turut menzahirkan rasa bangga dengan perkembangan sekolah terbabit.

“Sarawak beriltizam meningkatkan tahap kualiti pendidikan di negeri melalui pelbagai inisiatif dan antaranya melengkapkan sekolah dengan kemudahan yang diperlukan,” katanya.

Menurut Abang Johari, projek menaik taraf sekolah itu akan membawa impak dan kesan besar kepada pelajar, guru, ibu bapa dan masyarakat setempat dari segi kualiti pendidikan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn dalam teks ucapannya berkata, antara Projek Rakyat yang diluluskan oleh Kerajaan Sarawak termasuk SK Ulu Segan di Bintulu, SK Maludam (Betong), SK Pulo (Kuching), SK Penasu (Daro) dan SK Merpati Jepang yang bernilai kira-kira RM160 juta keseluruhannya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Abang Johari telah menyediakan peruntukan yang besar melalui Projek Rakyat untuk membangunkan sekolah yang mempunyai keperluan mendesak untuk berpindah, membaiki atau membina bangunan atau fasiliti sekolah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki dan Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa Guru SK Merpati Jepang, Dato Dr. Zaiedi Suhaili hadir sama.

Projek naik taraf sekolah itu merangkumi bangunan makmal komputer, blok pentadbiran baharu, bilik guru, pusat riadah, lif dan jejentas.

Sumber dari : Jiwa Bakti